Jumaat, 27 November 2020

Black Friday | Lelaki Langit Bumi



Assalamualaikum. Hai semua! 👋

Bersempena dengan jualan Black Friday, ada potongan 10% untuk pembelian ‘Lelaki Langit Bumi’ di E-Sentral. Di sini saya sertakan sedikit cuplikan khusus buat kalian.



Tunggu apa lagi? Selain ‘Lelaki Langit Bumi', ada pelbagai buku dengan potongan harga hebat di sana. Inilah masanya untuk dapatkan karya penulis kegemaran kalian.

Jika tidak beli untuk diri sendiri, kalian boleh juga hadiahkan e-book ini kepada yang tersayang atau teman-teman ulat buku. Mudah sahaja. Di bawah ini saya tunjukkan caranya.

Jumaat, 20 November 2020

Budak Ipoh Selipar Putus - Syameen Khalili (E-book)

Assalamu'alaikum.

Hari ini saya ingin kongsi tentang e-book yang saya baru baca. Ok, pembetulan ... yang telah saya baca pertengahan Oktober yang lalu. Tetapi, disebabkan sikap tangguh-tangguh saya, lambat kisah e-book ini jadi entri.

Jika kalian perasan, saya jarang tulis ulasan atau resensi mengenai buku-buku yang telah saya baca. Ini kelemahan saya. Saya tidak pandai tulis review. Kalau ada entri tentang buku pun, lebih berkisar tentang pengalaman seronok saya yang ingin saya kongsi bersama kalian. Benda baik kena kongsi sama-sama!

Sama juga seperti 'Budak Ipoh Selipar Putus' ini. Sebuah karya oleh Syameen Khalili, seorang penulis yang saya kira miliki magis dalam kebolehannya menyusun aksara.  

Saya mula membaca karya penulis ini (Jejaka Jelmaan JemalaGadis Penyelamat dan Kadir Kadariah) ketika mula berjinak-jinak dengan aplikasi Wattpad beberapa tahun yang lepas. Selepas tu saya ke mana, Wattpad ke mana. Sekarang inilah baru nak aktif membaca dan menulis semula.

ebook, 170 halaman

Diterbitkan 2020 oleh Siti Syameen Md Khalili

ISBN139789671802915

Khamis, 19 November 2020

Ulasan LLB di Goodreads oleh Sha Mohamed

 Assalamualaikum.

Hai, apa khabar semua?

Hari ini saya ingin kongsikan kegembiraan saya. E-book 'Lelaki Langit Bumi' sudah ada review di Goodreads. 🤗

Saya ini nama sahaja tulis buku, namun akaun Goodreads saya berstatus tidak aktif. Jauh sekali lagi tahu bagaimana hendak wujudkan page khas untuk e-book saya. 

Terima kasih tidak terhingga kepada Sha Mohamed kerana wujudkan halaman untuk 'Lelaki Langit Bumi'.



Akak gembira Sha terhibur baca 'Lelaki Langit Bumi'. Terima kasih juga untuk review ini. 

Sebenarnya Sha tulis dah lama, masa mula-mula LLB masuk pasaran digital awal September yang lalu. Baru sekarang ini saya sempat tulis entri mengenainya.

It really made my day! Bagi saya, apabila ada pembaca yang sudi luangkan masa untuk baca buah pena saya, saya sudah cukup bersyukur dan gembira. Apatah lagi yang sanggup tinggalkan komen, beri pendapat, saranan dan sokongan. Semua itu memerlukan daya dan mencuri sedikit masa mereka.

Antara perkara manis dalam saya menyudahkan LLB ialah saya menulisnya bersama teman-teman pembaca saya. Ada kandungan LLB yang ditulis berdasarkan pilihan, pendapat dan komen-komen mereka. Malah saya turut import nama Wattpad mereka ke dalam LLB.

Terima kasih sekali lagi, Sha. Akak amat-amat hargainya. Moga kebaikan Sha ini akan dibalas dengan ganjaran berlipat ganda oleh Sang Pemberi Rezeki.

Untuk pengetahuan kalian, Sha merupakan seorang blogger yang sangat gemar membaca. Sha juga aktif tulis resensi di Goodreads dan berkongsi tentang buku-buku yang telah dibacanya di blog. Ingin tahu tentang lebih banyak buku? Kunjungilah blog Sha di sini



Ahad, 15 November 2020

The Green-eyed Monster

Kau hulur tanda perkenalan

mendekatinya sebagai sahabat

kalian mula rapat


dia kaudekati

babak pincang permainanmu dapat dihidu 

ramahmu yang mencetuskan akrab

terselit iri

perhatianmu bertanya khabar

berselimut cemburu

gurauanmu yang padanya polos

bertekat benang hasad


hakikatnya

kau the green-eyed monster

di matamu dia bukan kawan

dia pesaing

yang perlu kaupantau rapat

yang harus kaujinakkan

agar dia tidak melangkah

mendahuluimu kendatipun setapak


realitinya 

tali sahabat ini sekadar germo

untuk merampungkan bentakan egomu

bukan benci

jauh sekali mengibarkan panji permusuhan

cuma tak terikut percaturan licik kauhayunkan


memilih untuk mengasihi

menyayangi semua

cuma segelintir yang dia benar-benar percaya

meskipun sering kaucanang kau ikhlas

tiada jaminan kau tulus.

Isnin, 9 November 2020

Puisi Padam - Hilang

Sudah lama saya tidak buat puisi padam (blackout poetry). Ini salah satu ekspresi kreatif yang saya kira menarik. Dari satu halaman buku, tidak kiralah novel atau cerpen, kita akan pilih perkataan tertentu untuk hasilkan sebuah puisi baharu. Selebihnya dipadam (digelapkan).

Boleh google atau lihat di Pinterest contoh-contoh blackout poetry. Di bawah ini antara percubaan saya membuat puisi padam secara digital. 


Hilang



bergema suara hati

menampar wajah suram

sunyi menyelubungi hari


pulang ke ruang tanpa maya

menghempaskan kehilangan

dia penat

apa sebenarnya dicari

dimahukan.


Ahad, 8 November 2020

Review Lelaki Langit Bumi di E-Sentral


Bagi yang mengikuti perjalanan karya saya yang satu ini, pasti kalian sudah tahu, ‘Lelaki Langit Bumi’ (LLB) telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Boleh dapatkan naskhah digital LLB di E-Sentral.

Alhamdulillah, walaupun baru beberapa bulan di pasaran digital, saya gembira kerana LLB mula diterima dan ada peminatnya sendiri. Tentunya ucapan terima kasih ini buat kalian yang sentiasa menyokong saya sejak saya mula menulis, terbitkan bab demi bab, sehinggalah LLB berjaya dinoktahkan.

Hari ini, saya ingin kongsikan review LLB yang saya terima di platform E-Sentral.








Terima kasih banyak-banyak. Terharu saya membacanya. Untuk saya yang bukan betul-betul seorang penulis, baru bertatih untuk belajar menulis dengan betul, bait-bait kata yang sudi kalian tinggalkan di situ, tinggi nilainya buat saya.

Harapan saya, moga kalian terhibur membaca LLB dan ada benda baharu yang dipelajari melalui kisah Ariyyan dan Diha ini. 












Sabtu, 7 November 2020

Affogato atau Tiramisu

Tolong bantu saya. Kali ini, saya ingin memasukkan elemen interaktif dalam ‘Bukan Sindrom Nightingale.’ Jadi, akan ada beberapa bab yang mempunyai olahan yang berbeza mengikut pilihan pembaca.

Affogato atau Tiramisu? Itu yang kalian perlu putuskan untuk Bab 12 minggu hadapan.


Affogato (Kredit Imej)

Tiramisu (Kredit Imej)

Antara dua hidangan pencuci mulut di atas, mana yang kalian akan pilih sebagai ganjaran buat diri setelah seharian penat dengan aktiviti atau rutin kalian?


Tinggalkan komen di Bab 10, ‘Bukan Sindrom Nightingale’ ya. 



Terima kasih! 😊






Isnin, 2 November 2020

Certot - Hanya Aku, Melati

           AKU mengeluh, "Ini sudah keterlaluan. Aku dah penat nak tanam kawan-kawan aku. Aku dah tak mampu."

          Antasha memaut lenganku. "Kita balik, Han." Aku cuma mampu mengangguk. Sekilas kutatap batu nisan di atas timbunan tanah merah. 'Selamat jalan, Daus.'

          Setibanya di rumah, kuhempaskan tubuh di atas sofa di ruang tamu. Sengaja lampu dan kipas tidak dipasang.

          "Ini semua ketentuan Allah, Han. Kita kena reda." Terngiang-ngiang pujukan lembut Antasha. Memanglah ketentuan Tuhan, tetapi semua ini tidak masuk akal! Seorang demi seorang meninggal dunia. Dalam tempoh sebulan ini, lima orang kawanku pulang ke pangkuan Sang Pemilik Nyawa.

          Hati kuat menghasut minda. Ada sesuatu yang tidak kena. Zack menghembuskan nafas terakhir ketika bermain futsal. Serangan jantung. Zack? Umur belum mencecah 25 kena serangan jantung? Jika diikutkan, dalam kalangan kami berenam, Zack paling aktif bersukan dan benar-benar mengamalkan gaya hidup sihat.

          Minggu berikutnya, Shireen dan Melly terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mereka. Diikuti Nuar, tumpas lemas mencari kelapangan nafas dek kerana penyakit lelah akut yang dihidapi.

          Baru tadi. Baru tadi aku mengiringi 'perjalanan pulang' sahabat baikku sejak kecil. Daus juga telah pergi. 'Arghhh! Aku betul-betul sunyi. Kini cuma tinggal aku dan Antasya. Tipulah jika aku tidak dihurung bimbang andai ada sesuatu yang buruk menimpa si mestika hati.

          Kebetulan? Tidak mungkin. Sudah macam satu corak kebiasaan. Apa penjelasan di sebalik kematian-kematian silih berganti? 'Badi apa yang melekat pada aku ni? Semua kawan aku mati!’ Badi? Cepat-cepat aku beristighfar.

          Berlama dalam kegelapan membuatkan fikiranku kian sempit. Lampu di meja sisi sofa kupasang. Sejalur cahaya menerangi ruang. Aku berlunjur, meletakkan kedua-dua kaki di atas meja kopi. Sempat kaki kanan menguis-nguis kelopak bunga melati yang bertaburan di atas meja tersebut. Serentak itu, keharuman melati menyapa deria.



          Bunga melati? Sesuatu yang terlintas di fikiran memaksaku bangkit. Lampu ruang tamu dipasang. Kelopak-kelopak melati bertaburan di tepi meja, di atas ambal. Aku ke dapur. Ada beberapa kuntum bunga melati di atas meja makan dan di singki.

          Belakangan ini aku kerap nampak bunga melati di rumah. Pelik. Dari mana datangnya? Orang hidup bujang sepertiku tidak perlu bunga-bungaan. Tidak kuasa menambahkan berat kepala, kemusykilan itu tidak kubenakan. Hari-hariku terlalu penat mendepani pemergian demi pemergian. 'Tidur lagi baik!'



          KUTATAP wajah pucat Antasha. Entah mengapa saat dimaklumkan tentang kematiannya hatiku kebas. Tiada rasa. Namun, kelopak kecil berwarna putih di tepi kepala Antasha memancing gusarku. Serta-merta setiap majlis pengebumian yang kuhadiri terimbas kembali di layar fikir. Zack, Shireen, Melly, Daus, Antasha. Lima pengebumian berbeza, satu benda yang sama - kuntuman -kuntuman bunga melati berhampiran mereka!

          Aku mengangkat wajah. Panahan mata milik seorang gadis berkebaya putih menghipnotisku. Aku terasa seperti mengenalinya. Di mana?

          "Kau milikku sampai bila-bila, Nazhan. Aku tidak akan biarkan ada sesiapapun di antara kita." Meskipun berbisik, setiap tutur katanya jelas kudengar.

          "Tiada siapa yang bisa mendampingimu selain aku. Hanya aku, Melati." Dia melarik senyum, menyelitkan sekuntum melati di celah telinga sebelum melangkah pergi.

          Kaget. Kaku. Aku sekadar memerhatikan susuk tubuh gadis itu yang sekonyong-konyong ghaib ditelan gelap malam.


Mal Du Pays

  Nota: mal du pays bermaksud kerinduan pada kampung halaman dalam bahasa Perancis. Homesick gitu 😊