Jumaat, 30 Oktober 2020

Certot - Janji Jatayu Para

     

AMIRUL mengeluh. 'Waktu orang nak ambil gambarlah, dia enter-frame. Pusat Bumi Jatayu ni punyalah luas, kat sini juga kau nak menyelit!'

          "Excuse me, Miss. Could you please...." Tangan membuat isyarat meminta gadis India berpersalinan serba merah ke tepi.

          Fokus kamera dihalakan semula ke arah Thariq. "Riq, tanggalkanlah rantai tu sekejap. Tak kena dengan sherwani yang kau pakai."

          "Ish, mana boleh! Tiara bagi ni. Aku dah janji pakai sampai bila-bila," balas Thariq, menyentuh rantai perak berloket gitar akustik kecil pemberian buah hati.

          "Cinta mati la kononnya tu," usik Umar disambut tawa Maira dan Qila. Tawa mereka bertukar teriak tatkala sekonyong-konyongnya Amirul rebah ke lantai bumi.

          Amirul membuka mata. Riak bimbang rakan-rakan menyapa pandangan. "Dah sedar pun. Kau OK tak?" soal Qila. "Panik kitorang tiba-tiba kau pengsan."

          Amirul memerhati keadaan sekeliling. Dia sedang berbaring di atas sebuah bangku batu. Kemamar. Berusaha mengingati apa yang berlaku. Sebaik sahaja kotak minda menjentik kewarasan, Amirul segera bangkit.

          "Perempuan tu! Perempuan tu kena bunuh! Aku nampak dia berdarah-darah!" Nafasnya turun naik. Ketakutan nyata terzahir melalui kata-kata dan gerak tubuh.

          "Perempuan mana?"

          "Yang aku marah tadi! Yang pakai sari merah macam pengantin tu!" Mata mencerlung ke sana sini. Entah apa yang dicari.

          "Pengantin mana pula ni?" Musykil Umar bertanya.

          "Ya Allah, yang masa aku nak ambil gambar Thariq depan Jatayu tu, dia tiba-tiba muncul macam nak bergambar sama!"

          Umar, Maira dan Qila berpandangan sesama sendiri. Apa yang diracaukan Amirul langsung tidak masuk akal. Siapa pula gerangan pengantin bersari merah? Tadi hanya mereka berlima sibuk merakam gambar kenangan sebelum Amirul jatuh pengsan.

          "Thariq? Thariq mana?" soal Amirul setelah menyedari Thariq tiada bersama mereka.

          "Masa kau pengsan, keadaan kalut sekejap. Ramai orang kerumun. Kemudian, ada beberapa orang tolong angkat kau. Tak taulah macam mana boleh terpisah dengan Thariq. Harap dia pandailah cari kita di sini," cerita Maira. Tangan menghulurkan sebotol air mineral kepada Amirul.

          Amirul meneguk air dengan rakus. Insiden ngeri yang disaksikannya terlayar kembali di ingatan. Semua terlalu jelas. Terlalu nyata.  Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon pintar, menaip sesuatu di kotak carian. Beberapa pautan mengenai kejadian misteri yang berlaku di Kerala diklik lalu dibaca satu persatu.

          Air mukanya berubah. Skrin telefon diunjukkan kepada rakan-rakan. "Perempuan ni!" Kala itu muka sudah pucat ibarat tiada darah.

          "Shuba, melarikan diri dari kampung setelah hubungannya dengan sang kekasih mendapat tentangan hebat keluarga. Pasangan merpati dua sejoli ini berjanji untuk bertemu dan berkahwin tetapi hasrat mereka tidak kesampaian apabila Shuba dibunuh. Kekasihnya pula hilang tanpa dapat dikesan." Lantang suara Umar membaca artikel berkenaan gadis tersebut.

          "Kejadian misteri yang berlaku sekitar Jatayu Para dikaitkan dengan kisah Shuba dan janjinya kerana dia dipercayai dibunuh di tapak Pusat Bumi Jatayu, enam puluh tahun dahulu." Maira pula meneruskan pembacaan. "Cuba klik gambar hitam putih ini. Gambar dia dengan kekasih agaknya."

          Serentak itu, keempat-empat mereka terlongo.

          "Muka kekasih dia sebijik macam Thariq!"

          "Bukan macam Thariq ...." Perlahan Amirul mencelah. Dengan tangan yang terketar, dia menunjuk ke arah rantai berloket gitar yang dipakai lelaki dalam gambar.

          "Memang Thariq."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mal Du Pays

  Nota: mal du pays bermaksud kerinduan pada kampung halaman dalam bahasa Perancis. Homesick gitu 😊