Isnin, 2 November 2020

Certot - Hanya Aku, Melati

           AKU mengeluh, "Ini sudah keterlaluan. Aku dah penat nak tanam kawan-kawan aku. Aku dah tak mampu."

          Antasha memaut lenganku. "Kita balik, Han." Aku cuma mampu mengangguk. Sekilas kutatap batu nisan di atas timbunan tanah merah. 'Selamat jalan, Daus.'

          Setibanya di rumah, kuhempaskan tubuh di atas sofa di ruang tamu. Sengaja lampu dan kipas tidak dipasang.

          "Ini semua ketentuan Allah, Han. Kita kena reda." Terngiang-ngiang pujukan lembut Antasha. Memanglah ketentuan Tuhan, tetapi semua ini tidak masuk akal! Seorang demi seorang meninggal dunia. Dalam tempoh sebulan ini, lima orang kawanku pulang ke pangkuan Sang Pemilik Nyawa.

          Hati kuat menghasut minda. Ada sesuatu yang tidak kena. Zack menghembuskan nafas terakhir ketika bermain futsal. Serangan jantung. Zack? Umur belum mencecah 25 kena serangan jantung? Jika diikutkan, dalam kalangan kami berenam, Zack paling aktif bersukan dan benar-benar mengamalkan gaya hidup sihat.

          Minggu berikutnya, Shireen dan Melly terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mereka. Diikuti Nuar, tumpas lemas mencari kelapangan nafas dek kerana penyakit lelah akut yang dihidapi.

          Baru tadi. Baru tadi aku mengiringi 'perjalanan pulang' sahabat baikku sejak kecil. Daus juga telah pergi. 'Arghhh! Aku betul-betul sunyi. Kini cuma tinggal aku dan Antasya. Tipulah jika aku tidak dihurung bimbang andai ada sesuatu yang buruk menimpa si mestika hati.

          Kebetulan? Tidak mungkin. Sudah macam satu corak kebiasaan. Apa penjelasan di sebalik kematian-kematian silih berganti? 'Badi apa yang melekat pada aku ni? Semua kawan aku mati!’ Badi? Cepat-cepat aku beristighfar.

          Berlama dalam kegelapan membuatkan fikiranku kian sempit. Lampu di meja sisi sofa kupasang. Sejalur cahaya menerangi ruang. Aku berlunjur, meletakkan kedua-dua kaki di atas meja kopi. Sempat kaki kanan menguis-nguis kelopak bunga melati yang bertaburan di atas meja tersebut. Serentak itu, keharuman melati menyapa deria.



          Bunga melati? Sesuatu yang terlintas di fikiran memaksaku bangkit. Lampu ruang tamu dipasang. Kelopak-kelopak melati bertaburan di tepi meja, di atas ambal. Aku ke dapur. Ada beberapa kuntum bunga melati di atas meja makan dan di singki.

          Belakangan ini aku kerap nampak bunga melati di rumah. Pelik. Dari mana datangnya? Orang hidup bujang sepertiku tidak perlu bunga-bungaan. Tidak kuasa menambahkan berat kepala, kemusykilan itu tidak kubenakan. Hari-hariku terlalu penat mendepani pemergian demi pemergian. 'Tidur lagi baik!'



          KUTATAP wajah pucat Antasha. Entah mengapa saat dimaklumkan tentang kematiannya hatiku kebas. Tiada rasa. Namun, kelopak kecil berwarna putih di tepi kepala Antasha memancing gusarku. Serta-merta setiap majlis pengebumian yang kuhadiri terimbas kembali di layar fikir. Zack, Shireen, Melly, Daus, Antasha. Lima pengebumian berbeza, satu benda yang sama - kuntuman -kuntuman bunga melati berhampiran mereka!

          Aku mengangkat wajah. Panahan mata milik seorang gadis berkebaya putih menghipnotisku. Aku terasa seperti mengenalinya. Di mana?

          "Kau milikku sampai bila-bila, Nazhan. Aku tidak akan biarkan ada sesiapapun di antara kita." Meskipun berbisik, setiap tutur katanya jelas kudengar.

          "Tiada siapa yang bisa mendampingimu selain aku. Hanya aku, Melati." Dia melarik senyum, menyelitkan sekuntum melati di celah telinga sebelum melangkah pergi.

          Kaget. Kaku. Aku sekadar memerhatikan susuk tubuh gadis itu yang sekonyong-konyong ghaib ditelan gelap malam.


Jumaat, 30 Oktober 2020

Sang Penghenti Waktu

 

Setahun Lebih Tanpa Kata

 Assalamualaikum,

Jika diperhatikan dari tarikh terakhir saya mengemas kini blog ini (13 Oktober 2020), sudah setahun lebih blog saya ini sepi tanpa sebarang aksara. Hasrat hati untuk menjadikan 'Wilayah Kecil Girang Fashali' sebagai medium untuk saya aktif menulis dan berlatih menulis, nampaknya tertangguh hingga lebih dua belas bulan.


Semenjak awal PKP dilaksanakan sekitar Mac lalu, niat untuk tulis entri baharu asyik tertunda. Tahu-tahu 2020 cuma berbaki dua bulan sahaja lagi. Insya-Allah selepas ini kena lebih aktif menulis dan kongsi perkembangan di sini.


Kemas kini ringkas daripada saya.

'Lelaki Langit Bumi' diterbitkan sebagai e-book.

Karya sulung cacamarba saya ini akhirnya saya terbitkan sendiri sebagai e-book melalui platform E-Sentral. Ini sekadar percubaan pertama saya untuk tahu serba-sedikit tentang e-book, penjualan e-book dan sambutannya dalam kalangan penggemar novel tempatan. 

Kebetulan ada segelintir pembaca 'Lelaki Langit Bumi' yang berminat untuk memiliki naskhah ini dalam bentuk e-book. Saya memang tiada pengalaman langsung mengenai hal ini. Jadi, apabila ada peluang, saya sunting manuskrip sebaik yang mungkin dan hantar ke pihak E-Sentral untuk dipasarkan dalam bentuk e-book.

Bagi yang berminat, boleh klik pautan di bawah ya.



E-book Lelaki Langit Bumi


Karya di Wattpad

Seiring dengan niat aktif menulis di sini, sekarang ini saya juga cuba pastikan diri rajin menulis di Wattpad. Setelah 'Lelaki Langit Bumi', karya yang sedang saya usahakan di sana untuk asah penulisan saya ialah 'Bukan Sindrom Nightingale' dan 'Jumpa di Kafe Joshua'.




Rajin-rajin, datanglah sapa saya di sana ya.

Mal Du Pays

  Nota: mal du pays bermaksud kerinduan pada kampung halaman dalam bahasa Perancis. Homesick gitu 😊