"Sama-sama," balasnya mesra apabila wanita itu mengucapkan terima kasih. Ceria dia menapak menghampiri meja. Sebuah beg kertas dihulurkan kepadaku.
"Fortune cookies kesukaan kau." Matanya menerawang ke segenap ruang kafe. Saat Joshua, pelayan kafe menghampiri kami, sekali lagi dia mengukir senyum.
"Hai, Erin. As usual?" tanya Joshua yang sudah arif tentang pesanan pelanggan yang satu ini. Kopi o pekat tanpa gula dengan beberapa keping biskut cip coklat.
Angguk. "Kau nak tambah apa-apa?" Dia memandang cawan cappuccino di hadapanku yang masih belum berusik.
"Kau nak tambah apa-apa?" Dia memandang cawan cappuccino di hadapanku yang masih belum berusik. Aku menidakkan. Pandangannya dihalakan semula kepada Joshua. "Josh, aku nak belanja pasangan di meja hujung tu," ujarnya merujuk kepada pasangan warga tua yang sedang menikmati hidangan mereka. "Seperti biasa, aku mahu kekal anonymous."
Giliran aku pula tersenyum. Itu kebiasaan gadis manis ini. Sekali-sekala dia akan membayar bil pelanggan di kafe itu dan meminta agar identitinya dirahsiakan. Cukuplah dia berasa gembira berkongsi rezeki dengan mereka. Tidak perlu mereka tahu siapa dia.
"Kau ajak jumpa ni ada apa-apa ke?" Ceria dia bertanya.
"Lama tak jumpa kau. Asyik sibuk memanjang."
"Biasalah, kerja...." Tuturnya terhenti tatkala seorang pelayan datang membawa pesanan. Kopi berasap tipis diletakkan di atas meja. Ketika mahu menghidang biskut, si pelayan hilang imbangan. Lantas piring terlepas dari tangan.
"Minta maaf, kak! Minta maaf. Saya tak sengaja," ucapnya gugup apabila menyedari beberapa keping biskut mendarat di atas paha Erin yang bercelana hitam.
"Cemerkapnya awak ni! Nasib baik biskut. Kalau kopi panas tadi yang kena paha dia?" Aku memarahinya. Telahku dia pekerja baharu. Tidak pernah aku melihatnya sebelum ini.
"Tak mengapa. Akak tak cedera pun," celah Erin sambil menguis sisa biskut dari seluar. "Cuma lain kali hati-hati ya."
Joshua yang menyedari insiden itu segera datang membawa sepiring biskut lagi dan beberapa biji mufin. Tanda permohonan maaf bagi pihak rakan sekerjanya.
"Tak payahlah marah sangat. Biasalah baru-baru kerja. Kalau dia tak buat silap, macam mana nak cari pengalaman."
Aku diam. Mencapai satu fortune cookie pemberiannya lalu biskut itu kupecahkan.
"Dapat apa?" Soalnya ingin tahu.
Kamu akan lihat kecantikan sebenar.
"Kamu akan lihat kecantikan sebenar. Ramalan hari ini mengena! Kaulah kecantikan sebenar," luahku menunjuk ke arah dirinya.
Spontan dia tertawa. "Aku?! Kecantikan sebenar? Mengarutlah! 'Cantik' bukan kata adjektif yang sesuai untuk aku," bidasnya.
"Kau sedar dan peka dengan orang sekeliling kau. Wanita tadi, bukannya dia tak boleh buka pintu sendiri." Aku mula berhujah.
"Kau lempar senyum, belanja orang asing. Kau suka lakukan kebaikan. Kau tak perlukan sebarang pengiktirafan waima ucapan terima kasih."
"Kau tidak pandang rendah pada orang lain. Pelayan tu patut dimarah. Tetapi, kau pilih memberi maaf."
"Yang paling penting, kau sentiasa melihat ketidaksempurnaan orang lain sebagai sesuatu yang sempurna."
Aku bangkit dari kerusi. Tongkat yang selama ini membantu aku berjalan dek kerana kaki kananku yang tempang aku capai.
"Bagi aku, kau terjemahan kecantikan sebenar," simpulku, tersenyum sebelum melangkah menuju ke bilik air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan